Thursday, July 15, 2010

Istiwa A'zam - 2 kali setahun

Pada esok hari, akan berlakunya Istiwa A'zam. Secar ringkas, Istiwa A'zam adalah satu fenomena di mana matahari berada betul-betul di atas bangunan Kaabah. Fenomena ini berlaku 2 kali dalam setahun iaitu pada : 28 Mei (5.16 petang waktu Malaysia) dan 16 Julai (5.28 petang waktu Malaysia).

Ketika matahari berada betul-betul di atas Kaabah, secara tidak langsung bayang-bayang objek di tempat lain yang terbentuk akan menjauhi Kaabah (kiblat) pada waktu tersebut.

Kita di Malaysia juga berpeluang menyemak arah kiblat tempat kita dengan tepat semasa berlakunya fenomena tersebut.

Kaedah menggunakan bayang matahari pada tarikh dan waktu tersebut adalah kaedah yang paling mudah, tepat, praktikal dan ekonomi. Hanya dirikan tiang yang lurus dengan tegak di tempat lapang dan terbuka yang tidak terlindung dari mendapat cahaya matahari pada petang tersebut. Tandakan dan gariskan bayang tiang pada waktu yang tersebut. Garisan yang menghadap ke pangkal tiang adalah arah kiblat tempat anda.

Monday, May 3, 2010

Pengenalan Kepada Falak

Falak bermaksud ilmu mengenai alam semesta. Ia adalah ilmu tentang putaran bintang, planet dan objek samawi yang lain.

Mengetahui ilmu falak membolehkan kita mengetahui lebih mendalam mengenai angkasa kita dan objek yang berada di sana, mendalami ibadat agama Islam yang berkaitan waktu seperti solat dan puasa serta mengenali pencipta alam ini.

Terdapat sedikit perbezaan, atau mungkin tiada langsung, antara astronomi Islam dan falak. Astronomi Islam merujuk kepada astronomi yang berkaitan dengan Islam dan ibadat dalam Islam. Ia membawa kita mengenali alam ini dan penciptanya dengan lebih mendalam. Berbanding dengan astronomi kaum lain, hanya sekadar mengamati keindahan alam ini tanpa mendekatkan kita dengan-Nya.

Manakala falak berkait langsung dengan ibadat dalam Islam seperti solat dan puasa. Mengetahui ilmu untuk menetapkan waktu dan arah yang tepat agar ibadat yang dilakukan lebih tepat dan diyakini.

Antara bidang ilmu falak ialah geometri, trigonometri, tokoh, instrumentasi dan fizik angkasa. Itu sekadar umum kerana bidang ilmu tersebut perlu diketahui dan dikuasai untuk menguasai ilmu falak atau astronomi Islam ini.

Wednesday, April 28, 2010

Masa berehat..

Pertamanya, saya tengah menyusun dan mengatur masa saya untuk bekerja (mengajar) dan menulis blog. Memang tersangat lama blog ini tidak diupdate tetapi ada sebabnya.

Hampir 4 bulan saya berehat dari melayari internet kerana tiada capaian internet di kampung. Manakala nota falak saya ditinggalkan di rumah sewa saya di KL. Sekarang pun belum diambil lagi.

Tapi, masa berehat dah berakhir. Mulai sekarang, saya akan cuba untuk berkongsi maklumat dan ilmu falak yang saya ada melalui blog ini. Perkongsian ini adalah impian saya untuk menambahkan ilmu falak saya.

Kedua, saya sekarang mengajar sementara di Sekolah Menengah Agama. Oleh itu, terdapat capaian internet di sekolah tersebut. Ini memudahkan saya untuk mengemaskini blog ini.

Ketiga (dan terakhir), salam ukhuwah dari saya. Nantikan artikel falak dari saya, sekurang-kurangnya 1 artikel setiap minggu.